Monday, March 7, 2011

Kaedah Penulisan Ilmiah (Nota kaki dan Bibliografi)

KAEDAH PENULISAN ILMIAH


6.0 Pengenalan

Penulisan ilmiah merujuk penulisan yang berlandaskan metodologi keilmuan atau metodologi saintifik. Metodologi saintifik ialah pendekatan mengungkapkan fakta dan bukti bagi menyokong kebenaran melalui bebarapa langkah seperti perumusan masalah, pembentukan hipotesis, deduksi hipotesis dan pengujian kebenaran.
Bahasa penulisan ilmiah, biasanya memilih kata, istilah, ungkapan dan ayat yang maknanya bersifat denotasi, iaitu tepat dan jelas supaya tidak disalahertikan dengan makna-makna lain. Dengan demikian karangan ilmiah harus bersifat objektif, jujur dan tepat.



6.1 Jenis-jenis Penulisan Ilmiah

Jenis-jenis penulisan ilmiah yang utama ialah esei ilmiah, kertas kerja, laporan kajian, tesis dan disertasi.


6.1.1 Esei ilmiah merujuk karangan ilmiah yang pendek tentang topik atau
permasalahan berdasarkan data yang diperolehi melalui rujukan perpustakaan dan / atau kerja lapangan. Penghuraiannya bersifat rasional-empiris dan objektif.


6.1.2 Kertas kerja ialah penulisan ilmiah yang memaparkan sesuatu fakta
atau permasalahan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan. Analisis dalam kertas kerja adalah lebih serius serta bersifat rasional-empiris dan objektif. Kertas kerja biasanya ditulis untuk diterbitkan dalam jurnal akademik atau dibentangkan dalam pertemuan ilmiah seperti seminar, bengikel dan sebagainya.


6.1.3 Laporan kajian atau penyelidikan ialah penulisan ilmiah yang
menyampaikan maklumat atau fakta tentang sesuatu kepada pihak lain. Penghuraiannya juga bersandarkan kepada metodologi saintifik dan berdasarkan data kerja lapangan dan / atau rujukan perpustakaan.


6.1.4 Tesis ialah penulisan ilmiah yang sifatnya lebih mendalam. Tesis
mengungkapkan pengetahuan baru yang diperoleh daripada pengamatan atau penyelidikan sendiri. Penulisan ilmiah ini melibatkan pengujian hipotesis bagi membuktikan kebenaran. Tesis biasanya ditulis oleh pelajar peringkat Sarjana Muda Kepujian dan peringkat Sarjana serta perlu dipertahankan di hadapan panel viva-vocĂȘ.


6.1.5 Disertasi ialah penulisan ilmiah tahap tertinggi dalam hierarki
pancapaian akademik, iaitu untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (Ph.D). Disertasi melibatkan fakta berupa penemuan penulis sendiri berdasarkan metodologi saintifik dan analisis yang terperinci. Seperti tesis, disertasi juga perlu dibentangkan dan dipertahankan di hadapan panel atau lembaga viva-vocĂȘ.



6.2 Ciri-ciri Khusus Penulisan Ilmiah

Terdapat beberapa ciri khusus dalm penulisan ilmiah yang perlu diberi perhatian:

1. Catatan Pustaka
2. Catatan Kaki dan Catatan Kaki Singkat
3. Petikan Langsung dan Tak Langsung
4. Bibliografi / Rujukan / Daftar Pustaka


6.2.1 Catatan Pustaka

Dalam penulisan ilmiah, sumber maklumat yang digunakan atau dirujuk perlulah dinyatakan. Catatan tentang sumber maklumat seperti buku, majalah, jurnal atau surat khabar disebut catatan pustaka. Teknik catatatn pustaka yang lazimnya digunakan adalah seperti berikut:
Jika nama pengarang dimasukkan bersama teks, karangan yang diisi di dalamnya tahun penerbitan dan muka surat dan perlu ditempatkan selepas nama pengarang tersebut. Tanda titik bertindih (:), dimasukkan di antara angka tahun terbitan dengan angka muka surat. Contoh:

Menurut Mohd. Nor Daud (1997 : 63), ayat yang berkesan ialah satu bentuk ayat yang disokong oleh kepelbagaian dalam struktur ayat.

atau

Hassan Ahmad (2000), juga sependapat dengan....

atau
Mengikut pandangan Saville – Troike (1986 : 52-63), peristiwa
komunikasi....

Jika dalam teks nama pengarang tidak disebut, catatan nama pengarang, tahun penerbitan dan muka surat dimasukkan di dalam kurungan dan diletakkan di hujung teks sebelum noktah. Tanda koma (,) diletakkan di antara nama pengarang dengan tahun terbit. Contoh:

Secara amnya peribahasa ialah percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran.
(Keris Mas, 1988 : 136)


6.2.2 Catatan Kaki

Catatan kaki ialah catatan-catatan kecil yang berfungsi memberikan keterangan tambahan terhadap teks yang ditulis. Catatan kaki ditempatkan pada bahagian bawah halaman dan dipisahkan daripada teks dengan garis panjang. Penomboran yang berurutan diberikan kepada setiap catatan kaki. Contoh:

.....kajian etimologi1 tidak dapat dipisahkan daripada kajian linguistik...
________________________________________________
1. Etimologi ialah kajian tentang kata serta perubahan bentuk dan makna.
6.2.3 Catatan Kaki Singkat

Catatan kaki singkat merupakan satu lagi kaedah menunjukkan sumber rujukan selain kaedah catatan pustaka.

ibid. (singkatan daripada ibidum, ertinya sama dengan yang di atas).
Digunakan untuk catatan kaki yang sumbernya sama dengan catatan kaki yang telah disenaraikan di atasnya.

op.cit (singkatan daripada opere citati, ertinya dalam buku / karya
yang telah dipetik), digunakan untuk catatan kaki daripada sumber yang telah dinyatakan, tetapi telah disisip catatan kaki lain daripada sumber lain.

loc.cit (singkatan daripada loco citati, ertinya tmpat yang telah dipetik)
seperti op.cit, tetapi dipetik daripada perenggan yang lain.

Perhatikan contoh catatan kaki singkat yang menunjukkan sumber rujukan dan ditempatkan pada bahagian bawah halaman serta dipisahkan daripadaa teks degan garisan panjang seperti yang berikut:

1. John Dewey, 1974. How We Think. Chicago. Henry Regnery Company. hal : 75

2. Shaykh Hakim Moinuddin Chisti, 1985. The Book of Sufi Healing. New York. Inner Traditions International Ltd. hal : 25

3. Ibid, hal. 45

4. John Dewey, op.cit., hal 89.

5. John Dwey, loc.cit.

Penggunaan catatan untuk menunjukkan sumber rujukan mestilah
selaras dalam keseluruhan penulisan. Jika kaedah catatan pustaka yang dipilih, maka keseluruhan penulisan haruslah menggunakan kaedah ini. Sebaliknya jika kaedah catatan kaki singkat digunakan, maka keseluruhan penulisan mestilah mengekalkan penggunaan kaedah ini dengan konsisten.


6.3 Petikan Tak Langsung

Petikan tak langsung merupakan pengungkapan kembali pendapat, gagasan pokok, ringksan atau kesimpulan daripada sebuah tulisan dengan gaya penulis sendiri. Teknik menyatakan sumber informasi dalam petikan tak langsung adalah sama seperti teknik catatan pustaka.



6.4 Petikan Langsung

Petikan langsung pula ditulis dalam susunan ayat asalnya tanpa sebarang perubahan dan diberi tempat tersendiri, terpisah daripada teks. Petikan langsung kadang-kadang diperlukan untuk mempertahankan keaslian penyataan yang dipetik, menunjangi hujah atau memberi maklumat tambahan.
Petikan langsung diberi tanda petik (“ “) padanya dan diikuti oleh catatan pustaka. Biasanya petikan langsung ditulis rapat (satu spasi) ataupun dikecilkan saiz hurufnya seperti contoh yang berikut:

“segala sesuatu cakap yang pendek yang melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan besar tujuannya dipakainya sebagai sebutan-esbutan orang sebagai bandingan teladan dan pengajaran”.
(Za’ba, 1965 : 165)

Sementara Clifford dan Swettenham menyatakan hasil pemrhatian mereka iaitu:

“.......peribahasa merupakan bahasa diplomatik, amat sesuai untuk mengelakkan diri daripada terlalu berterus-terang”.
(Brown, 1951 : X)



6.5 Bibliografi

Menulis bibliografi atau daftar pustaka bermaksud menyenaraikan semua sumber rujukan dan bacaan sama ada yang telah diterbitkan seperti buku, jurnal dan majalah ataupun yang belum terbit seperti kertas kerja, tesis dan disertasi. Biblografi dapat membantu pembaca mengetahui sumber-sumber yang digunakan dalam sesuatu kerja ilmiah. Ada beberapa hal yang perlu diperhatikan dalam penyusunan bibliografi:

1. Bibliografi tidak diberi nombor
2. Urutan nama penulis mengikut urutan huruf
3. Gelaran penulis tidak dimasukkan
4. Bibliografi diletakkan pada bahagian terakhir tulisan
5. Nama pengarang Melayu, Cina dan India ditulis penuh dalam susunan asal tetapi pengarang Barat, hanya nama keluarga sahaja yang ditulis.

Urutan unsur-unsur yang ditulis dalam bibliografi ialah:

 Nama penulis
 Tahun penerbitan
 Judul – digaris atau dicetak miring
 Tempat penerbitan
 Nama penerbit

Perhatikan contoh-contoh bibliografi di bawah ini.

Bibliografi

Abdullah Hassan, 1984. Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia.
Petaling Jaya. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Campbell. W.G., 1976. Form And Style In Thesis Writing. Boston.
Houghton Mifflis Company.

Mohd. Senu Awang, 1994. Khutbah Jumaat : Satu Analisis Laras. Kuala
Lumpur. Penerbitan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Nik Safiah karim, et. All. 1993. Tatabahasa Dewan, jilid 1 dan 2. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Soosai Ganesh, 1981. Kamus Ungkapan Lengkap. Kuala Lumpur.
Penerbitan Geetha.

Tan Ching Kwang, 1985. Malay Proverbs. Kuala Lumpur. Graham Brash.
Teo Kok Seong, 1997. Linguistik Antropologi: Satu Pengenalan Teoritis,
dlm. Jurnal Dewan Bahasa. 41 : 3 Mac, hlm. 243-251.

Razak A. Majid, 2002. Bahasa untuk Masyarakat Madani, dlm. Berita
Harian. September, hlm 12.

http://www.dbp.gov.my/

http://www.bharian.com.my

http://ww.utusan.com.my/majalah/massa



Kamus

Kamus Dewan, 1999. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

2 comments:

  1. terima kasih banyak2 cikgu , huh ! lega dah dapat cari dan jumpa mcm mana nak buat penulisan ILMIAH ni .. cikgu kat sekolah sebenarnya tahu , tapi dia ckp kamu cari sendiri lepas tu cerita kat saya . hahahaha

    ReplyDelete
  2. mula2 blur dengar perkataan ilmiah...syukur lepas baca apa yang ada dalam blog ni, 'keblurran' saya hilang..hehehe

    ReplyDelete